Tuesday, August 23, 2011

TAKUT & HARAP… DI AIDIL FITRI

...tinta gentarasa....

Kekadang mahmudah tidak kecapaian
Hanya dengan tekunnya amalan
Tapi harus ditempa oleh tusukan ujian
Dari kesakitan, kegagalan dan…
persengketaan
Seringkali dosa dan mazmumah
Ditandai oleh perpecahan ukhuwah
Sejauh mana kasih sesama manusia
Dibatasi oleh cinta pada yang Esa
Teguh iman, kukuhlah perpaduan

Kekadang Allah menyempitkan…
Supaya kita tak hanyut dalam kesenangan
Kekadang Dia melapangkan…
Supaya kita tak selalu dipagut kesempitan
Kekadang Dia melepaskan kita dari kedua-duanya
Supaya tidak bergantung kepada sesuatu
selain-Nya!

Ya Allah,
semoga di kemeriahan Syawal nanti
Hati kami tetap di madrasah Ramadan
Dalam alpa dan berdosa… kami takut
Dalam ingat dan taat… kami harap
Takut kemurkaan-MU!
Harap keampunan-MU!

Allah hu Akbar… Allah hu Akbar…
Walillahhilhamd!

MENCARI… BUKAN MENANTI LAILATUL QADR

...tinta gentarasa...

Setelah begitu resah, bimbang dan sedih atas kerosakan kaumnya, Rasulullah SAW pergi menyendiri (bertahannuth) di gua Hira’. Baginda nekad. Tidak mahu “kotoran” jahiliah hinggap pada hati dan dirinya. Hatinya meronta-meronta inginkan kebaikan buat kaumnya, tetapi apa kan daya, baginda tidak punya “senjata” dan “penawar” untuk menghadapi dan mengubatinya.

Bertahun-tahun, baginda di situ. Menyendiri, terasing seketika, untuk tidak terjebak dalam kejahilan dan kemusyrikan Arab Jahiliah. Bukan mengalah, tetapi berundur seketika mengatur langkah. Walaupun belum nampak cara tetapi kemahuan sudah ada. Hatinya sebagai wadah itu sentiasa menganga untuk mendapat pimpinan dan bimbingan.

Dan tiba-tiba pada satu malam yang penuh barakah, cahaya dan petunjuk, turunlah malaikat Jibrail membawa wahyu yang pertama. Saat itulah, baginda mula mendapat kekuatan, tenaga dan dorongan yang sangat luar biasa. Segala yang dinanti telah tiba. Segala yang “kosong” telah terisi.

Baginda menjadi Rasul sejak itu… mula dibebankan misi yang amat besar yakni berdakwah, mendidik dan memimpin kaumnya menuju Allah. Kembali ke fitrah. Malam yang bersejarah itu dikenali sebagai malam Al Qadar!

Mulai saat itu, selamat tinggal Hira’. Tidak ada pengasingan diri lagi selepas itu. “Rahib” sudah bertukar menjadi mujahid. Cahaya yang bermula dari dalam gua itu terlalu hebat, terlalu terang… bukan itu gelanggangnya, tetapi semesta alam. Roh iqra’ yang hebat itu disusuli kemudiannya oleh gerak Al Mudathir, lalu baginda pun menguak “selimut” uzlahnya lalu dibesarkan Tuhannya dengan sinar akidah di relung samar Jahiliah.

Apakah malam Al Qadar 1431 H ini akan ditunggu oleh hati seputih Rasulullah saw? Atau hanya diintai dan diramal oleh kebanyakan umat dengan hati yang kotor dan nafsu liar. Apakah al Qadar akan sudi bertamu di wadah hati yang begitu? Padahal hati Rasululah ketika menantinya sudah dikosongkan demi bertamu sebuah hidayah? Berapa lamakah kita telah membenci kemungkaran seperti Rasul membencinya hingga tiba saatnya baginda layak menemui malam yang agung dan hebat itu?

Apabila bercakap tentang Lailatul Qadar, terdapat berbagai-bagai pendapat tentang tanda-tanda berlakunya malam tersebut. Ada yang mengatakan apabila berlaku Lailatul Qadar, semua pokok menunduk rukuk dan semua sungai membeku dalam kadar waktu yang singkat.

Ada pula keterangan yang mengatakan cuaca pada siang hari menjadi tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk bahana Lailatul Qadar pada malamnya. Pendek kata, ada berbagai-bagai pandangan dan tanggapan. Apakah semuanya benar? Wallahua’lam. Pada hal di dalam Al-Quran atau hadis-hadis Rasulullah saw malam Al Qadar masih kekal tersembunyi dan misteri untuk ditentukan secara pasti.

Terdapat sikap sesetengah kalangan yang suka menunggu-nunggu tanda-tanda berlaku Lailatul Qadar untuk beribadah semaksima mungkin. Hanya pada malam yang dimaksudkan itu! Apakah cara ini betul? Sedangkan, Islam tidak mengajar demikian. Memburu satu malam bernama Al Qadar memerlukan ribuan malam sebelumnya yang dipenuhi dengan aktiviti dan usaha membersihkan hati secara konsisten.

Ia bagaikan atlet 100 meter yang berlari beribu-ribu kilometer dalam tempoh beribu-ribu jam sebagai persediaannya untuk menghadapi hari perlumbaan yang hanya mengambil masa tidak sampai 1 minit dengan jarak 100 meter.

Malam Al Qadar itu umpama sebuah “kapal terbang” yang memerlukan landasan yang selamat dan cukup panjang untuk mendarat. Jika landasannya pendek dan terhalang, kapal terbang tidak akan mendarat. Landasan Lailatul Qadar ialah hati yang bersih. Mana mungkin malaikat yang bersih dan suci itu boleh berdamping dengan orang yang hatinya masih kotor dengan sifat mazmumah apatah lagi kalau ada saki-baki syirik? Dan mana mungkin hati yang kotor dapat dibersihkan hanya dalam jangka masa satu malam?

Hati mesti dibersihkan sejak akil baligh hinggalah akhir hayat. Bersihnya hati itu, mencerahkan peluang kita untuk bertemu malam Al Qadar. Sebaliknya, jika hati dibiarkan kotor, dan hanya berangan-angan untuk bertemu dengan malam itu dengan “tekaan” dan “ramalan” sahaja, insya-Allah, kita tidak akan dapat menemuinya.

Allah swt tidak memberitahu kita rupa bentuk atau tanda-tanda Lailatul Qadar. Kita juga tidak diberitahu bilakah masanya malam itu? Namun apa yang Allah swt beritahu kita dalam surah Al-Qadr ialah tentang keutamaan Lailatul Qadar. “Malam kemuliaan itu adalah lebih baik daripada seribu bulan.” Apakah maksud Allah swt dengan ungkapan “lebih baik daripada seribu bulan?”

Kita harus faham bahawa surah berkenaan Lailatul Qadar sebenarnya membicarakan tentang penurunan Al-Quran. Malam diturunkan Al-Quran itu disebut Lailatul Qadar. Walau pun ia berlaku hanya satu malam sahaja, tetapi satu malam itu jauh lebih baik daripada 1000 bulan yang dipenuhi dengan kegelapan syirik, kesesatan dan sebagainya.

Menurut pandangan kebanyakan ulama tafsir, angka 1000 bulan ini tidak harus diertikan dengan bilangan antara 999 dan 1001. Sebaliknya ia dinisbahkan kepada nilai atau keutamaannya malam itu berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Surah Al-Qadr juga membicarakan tentang para malaikat yang turun disertai Jibrail a.s dengan izin Allah swt dengan membawa urusan. Jibrail turun menyampaikan wahyu yang terakhir kepada Nabi saw. Ini bermakna baginda telah mendapat Lailatul Qadar.

Namun kini, apakah urusan para malaikat turun ke bumi pada setiap bulan Ramadhan setelah kewafatan baginda?

Para malaikat adalah makhluk yang suci yang diutuskan oleh Allah Yang Maha Suci. Mereka sentiasa turun setiap malam, khususnya pada malam penghujung Ramadan. Ini sudah banyak dijelaskan dalam hadis-hadis Nabi saw. Namun begitu, jumlah malaikat yang turun pada setiap malam (yakni di sepertiga malam) tidak seramai pada Lailatul Qadar. Apatah lagi pada malam itu, malaikat yang turun bukanlah malaikat-malaikat yang sembarangan, tetapi yang tinggi “rankingnya” misalnya Jibrail a.s.

Lazimnya malaikat turun untuk membawa amalan manusia misalnya doa-doa, istighfar atau hajat-hajat mereka kepada Allah swt. Namun pada Lailatul Qadar, tugas mereka adalah lebih daripada itu. Menurut pendapat ulama kontemporari, malaikat yang turun bukan sahaja untuk membawa amalan manusia pada malam itu, tetapi turut bertamu dalam hati-hati mereka yang telah mendapat penghormatan daripada Allah swt.

Siapakah mereka yang layak menerima tetamu daripada malaikat yang diutuskan Allah ini? Apa yang pasti, jiwa-jiwa yang kotor sudah tentu tidak layak mendapat kunjungan mereka. Malaikat Jibrail diperintahkan turun bertemu dengan Nabi saw pada Lailatul Qadar. Semenjak malam itu, Jibril a.s sentiasa diutuskan kepada baginda untuk menyampaikan wahyu.

Bermula pada malam itu, apa sahaja yang dilakukan oleh Rasulullah saw semuanya mendapat bimbingan terus dan intim daripada Allah swt. Apa sahaja yang diucapkan oleh baginda semuanya berpandukan wahyu. Ini berbeza dengan keadaan sebelum baginda menjadi nabi. Rasulullah saw terpaksa juga berperang atau berjuang antara keinginan negatif dengan tuntutan fitrahnya. Hanya setelah mendapat Lailatul Qadar, bisikan malaikat dan tuntutan fitrah sentiasa dapat mengalahkan bisikan nafsu dan syaitan.

Oleh itu, sesiapa sahaja yang mendapat Lailatul Qadar, terdapat seorang malaikat yang diizinkan Allah swt menjadi aulia (pelindung, penjaga dan pembimbing) kepada dirinya. Ini bermakna bermula daripada malam itu sehingga hari berikutnya, hidupnya semakin terarah.

Jika sebelum ini bisikan syaitan dan bisikan malaikat sentiasa berperang dalam dirinya, tetapi setelah mendapat Lailatul Qadar, bisikan malaikat dan fitrahlah sentiasa menang. Hidupnya akan berubah menjadi baik. Jika dahulu dia tidak merasa apa-apa jika berbuat dosa, tetapi kini menjadi sensitif dan susah hati mengenangkan dosa. Inilah tandanya orang yang mendapat Lailatul Qadar.

Orang-orang yang layak mendapat Lailatul Qadar termasuk mereka yang istiqamah berpegang teguh kepada aqidah tauhid dan tidak mencampurkannya dengan syirik walau sedikit pun sedari kecil. Mereka ini sentiasa memelihara keimanan khususnya sepanjang bulan Ramadan, bahkan semakin bersemangat terutama pada sepuluh hari terakhir Ramadan.

Mereka inilah orang-orang mendapat tetamu daripada malaikat yang turun pada malam Qadar. Malaikat akan membisikkan sesuatu kepada roh, jiwa dan fitrah mereka sebagaimana firman Allah swt dalam Surah Al- Fussilat ayat 30:
“Janganlah kamu takut, janganlah kamu bersedih.”

Bencana hidup penuh dengan ketakutan dan kesedihan merupakan dua perkara yang sering disebutkan dalam Al-Quran. Namun bagi orang mukmin, Allah swt janjikan bagi mereka tiada ketakutan dan tiada kesedihan atau dalam istilah lain mereka telah mendapat ketenangan.

Allah swt izinkan malaikat menjadi pelindung, pembimbing dan pengawal bagi mereka. Bayangkan apabila hidup sentiasa dikawal oleh malaikat. Jika hendak berbuat sesuatu yang tidak baik sentiasa ada malaikat yang mengingatkan. Oleh itu beruntunglah mereka yang mendapat Lailatul Qadar.

Nilai umur seseorang selepas mendapat Lailatul Qadar adalah lebih baik sekalipun ianya singkat. Katalah ada seorang tua berumur 70 tahun telah mendapat Lailatul Qadar pada malam ini. Bermula pada malam ini, hidupnya menjadi lebih terarah kepada kebaikan. Katakanlah di Luh Mahfuz pula telah tercatat umurnya akan berakhir pada 72 tahun. Jadi nilai umurnya yang dua tahun berbaki lagi itu (yakni setelah mendapat bimbingan malaikat dengan izin Allah) adalah jauh lebih baik daripada 70 tahun hidup sebelumnya!

Sejarah pernah memaparkan kisah Firaun yang sangat membenci Nabi Musa a.s dan ingin memalukannya. Dia pun mengatur satu majlis besar-besaran dihadiri pembesar-pembesar dan rakyat Masir. Ahli-ahli sihir diraja dikumpulkan untuk berlawan dengan Nabi Musa. Namun sihir-sihir diraja itu dapat dikalahkan oleh mukjizat Nabi yang berupa ular besar.

Ular besar itu telah menelan semua ular ahli-ahli sihir itu. Rasa takjub kepada kehebatan mukjizat Nabi menyebabkan ahli-ahli sihir ini sujud kepada Allah. Mengapa mereka terus sujud menyembah Allah? Ahli-ahli sihir ini tahu membezakan yang mana ular sihir dan ular yang betul. Mereka yakin ular besar yang muncul di hadapan mereka bukanlah ular sembarangan atau ciptaan manusia.

Melihat sahaja ahli-ahli sihir telah beriman kepada Allah swt, Firaun menjadi terlalu marah. Firaun mengugut akan menyalib dan mengerat-ngerat badan mereka jika memeluk agama Nabi Musa. Namun ahli-ahli sihir itu teguh pendirian kerana lebih sayangkan iman daripada nyawa mereka sendiri. Akhirnya Firaun menyalib dan mengerat-ngerat tangan mereka dan dibiarkan sehingga mati.

Katakanlah selepas lima hari barulah mereka mati. Jadi nilai umur ahli-ahli sihir selama lima hari dalam keadaan beriman itu adalah lebih baik daripada umur mereka yang sebelumnya penuh dengan kejahatan.

Jadi, mulai bilakah perlu mempersiapkan diri supaya menjadi orang yang layak menerima Lailatul Qadar? Jawapannya ialah sejak kecil lagi. Nabi saw mempersiapkan diri, roh dan jiwanya sebelum menerima wahyu daripada Allah swt sejak daripada kecil. Baginda tidak pernah berbuat dosa pada ketika orang lain banyak berbuat maksiat. Oleh sebab itu baginda digelar Al-Amin (yang terpercaya) sejak sebelum dilantik menjadi rasul lagi.

Enam bulan sebelum Lailatul Qadar, baginda mengasingkan dirinya secara intensif meninggalkan keluarga dan kaumnya sementara waktu untuk menumpukan hati kepada Allah di gua Hira’. Itulah persediaan jiwa nabi sebelum menghadapi Lailatul Qadar.

Bagaimanakah dengan jiwa kita? Mungkinkah ibadah yang kita usahakan selama ini daripada satu Ramadan ke satu Ramadan belum menghasilkan jiwa sempurna atau suci bagi membolehkan didatangi oleh malaikat? Jika tahun ini kita tingkatkan lagi ibadah, seterusnya ditingkatkan tahun demi tahun, tidak mustahil satu ketika nanti kita akan didatangi malaikat pada malam Al Qadar.

Rugilah bagi orang-orang yang hanya menunggu-nunggu tanda-tanda Lailatul Qadar barulah bersiap untuk beribadah sebanyak-banyaknya. Atau hanya memperbanyakkan ibadah pada sepuluh hari terakhir Ramadan dan mengabaikan serta sambil lewa pada 20 malam sebelumnya dan tidak ambil kisah langsung dengan 330 malam di luar Ramadhan. Tidak salah menambah pecutan di sepuluh malam terakhir… tetapi momentumnya perlu bermula lebih awal.

Ibnu Kathir pernah menyatakan dalam kitabnya, ada pendapat ulama yang menyatakan bahawa setiap malam dalam bulan Ramadan ini itu ialah malam Lailatul Qadar. Jadi, lebih selamat jika kita menganggap setiap malam itulah Lailatul Qadar supaya kita berterusan meningkatkan ibadah.

Sekiranya kita tidak mendapat Lailatul Qadar, ibadah yang dilakukan bersungguh-sungguh masih tidak sia-sia. Teringat kata Imam Hasan Al Basri, “jadilah kamu hamba Allah (yang beribadah sepanjang masa, tempat dan suasana), jangan menjadi hamba Ramadhan (yang hanya tekun beribadah di bulan Ramadhan sahaja).

Tegasnya, Lailatul Qadar itu dinanti dan dicari dengan momentum ibadah yang telah dimulakan sejak akil baligh lagi – hati terus terusan dibersihkan, hingga tiba saatnya layak menjadi wadah tempat bertamunya para malaikat. Hingga dengan itu bisikan baik akan sentiasa mengatasi bisikan jahat, dan perangai pun berubah menjadi baik selama-lamanya.

Jadilah hamba yang mencari malam al Qadar, bukan yang hanya menantinya!

Friday, August 12, 2011

Cara mudah mencari muka surat dlm Quran

ikhsan faridah..

Jom sama2 kita belajar...

Contoh 1
Jika anda ingin mengetahui Juzuk 5 di halaman ke berapa:
5-1 = 4, 4 perlu didarab dengan 2 jadi 4 x 2 = 8
Letakkan no 2 selepas jawapan.
Jadi, juzuk 5 adalah pada halaman 82
Sekarang lihat pada Quran dan anda akan lihat Juzuk 5 bermula pada halaman 82. Menarikkan?

Contoh 2
Jika anda ingin mengetahui Juzuk 10 di halaman ke berapa:
10-1 = 9, 9 perlu didarab dengan 2 jadi 9 x 2 = 18
Letakkan no 2 selepas jawapan.
Jadi, juzuk 10 adalah pada halaman 182

Contoh 3
Jika anda ingin mengetahui Juzuk 23 di halaman ke berapa:
23-1 = 22, 22 perlu didarab dengan 2 jadi 22 x 2 = 44
Letakkan no 2 selepas jawapan.
Jadi, juzu 23 adalah pada halaman 442

Subhanallah, memang menakjubkan. Sama2 kita kongsikan kepada kawan2 kita, adik2 kita, famili2 kita supaya kita sama2 mendapat manfaat.

FITNAH DOSA BESAR

ikhsan IKIM

FITNAH boleh membawa pelbagai erti. Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, fitnah bermaksud tuduhan, khabar, kisah yang diada-adakan untuk memburukkan seseorang.

Dalam maksud ayat 191 surah al-Baqarah ada disebut “Fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan”. Kebanyakan ulama tafsir memberi erti fitnah di dalam ayat al-Quran ini membawa maksud perlakuan kufur dan syirik.

Imam Fakhrulrazi dalam tafsir Kabir memetik Ibn Abbas sebagai berkata, ini kerana pelaku syirik melakukan dosa besar yang melayakkan mereka kekal dalam neraka berbeza dengan kesalahan membunuh. Syirik dan kufur menjadikan pelakunya terkeluar daripada agama.

Ada sebahagian ulama pula memberi erti fitnah sebagai perkara yang mengancam hidup beragama orang Islam sama ada dengan meracuni akidah orang Islam dengan pelbagai perkara yang meragukan atau pun dengan seksaan seperti yang berlaku ke atas sahabat nabi Muhammad SAW seperti Bilal, Sohaib dan Ammar bin Yasir.

Apa pun, semua takrifan fitnah ini membawa maksud negatif yang boleh membawa kucar-kacir dalam masyarakat.

Dari konteks maksud fitnah oleh kamus Dewan, kita dapat melihat di dalam kehidupan bermasyarakat, timbul pelbagai dakwaan terhadap pihak kedua. Dakwaan yang timbul datang daripada pelbagai latar belakang individu dan kelompok dalam masyarakat.

Ada dakwaan yang bersifat jelas dengan bukti sokongan ke atas dakwaan tetapi sebaliknya ada juga yang dibuat tanpa bukti dan tanpa mengetahui latar belakang selok-belok perkara yang didakwa. Ini termasuk pihak ketiga yang membuat dakwaan terhadap suatu isu melibatkan dua pihak lain tanpa terlebih dahulu mengetahui dan menyelidik duduk sebenar perkara, khasnya daripada kedua-dua belah pihak itu sendiri.

Dalam zaman serba canggih dengan teknologi Internet di hujung jari, penyebaran segala dakwaan dibuat tidak terbatas kepada sesuatu kampung, daerah, negeri atau negara bahkan ke seluruh dunia.

Dakwaan yang dibuat apatah lagi jika tidak benar sudah tentu memberi kesan besar kepada orang yang didakwa seperti menjejaskan maruah dan menimbulkan pandangan negatif masyarakat serta boleh mempengaruhi persepsi masyarakat awam dalam sesuatu isu.

Pada masa sama, golongan yang berkepentingan sanggup melakukan apa sahaja termasuk membuat dakwaan tanpa usul periksa, mengadakan-adakan dakwaan untuk menjatuhkan pihak kedua demi memenuhi pelbagai motif seperti mengembangkan fahaman mereka, menguasai minda masyarakat dengan acuan dan agenda mereka atau untuk menjaga kepentingan diri dan pihak-pihak tertentu. Mereka dengan mudah pula mencanangkan dakyah mereka itu ke seluruh lapisan masyarakat.

Sebagai orang Islam, kita tidak harus terikut-ikut menyokong dan menerima sebarang dakwaan apatah lagi yang datang daripada golongan berkepentingan dengan menambah tokok lagi dakwaan mereka sehingga menjadikan dakwaan golongan tersebut seolah-olah benar walaupun ia sebenarnya belum lagi jelas atau matang.

Orang Islam mempunyai asas panduan yang telah pun digariskan oleh agama apabila ingin mengatakan pandangan dalam sesuatu isu atau menerima berita yang berlaku dalam masyarakat.

Asas ini termaktub dalam satu firman Allah SWT yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (Al-Hujurat: 6).

Ayat ini memberi kesimpulan bahawa berita yang diterima dan sebarang ulasan atau dakwaan yang ingin kita lakukan hendaklah berdasarkan kepada kesahihan kebenaran berita berkenaan.

Jika kita memberi komen tanpa maklumat yang matang dan tepat tentang berita berkenaan maka sudah tentu ia boleh menjadi suatu dosa yang disesali kemudian. Apatah lagi berita yang diterima daripada orang fasik.

Jika kita melihat lebih lanjut, maksud fasik dari segi bahasa adalah menyimpang daripada sesuatu atau daripada matlamat tertentu iaitu tidak taat. Dari segi istilah, imam al-Qurtubi mentakrifkan fasik iaitu mereka yang tidak mentaati Allah SWT daripada kalangan orang Islam yang ahli maksiat dan orang kafir.

Al-Alusi pula mentakrifkan fasik itu termasuk orang berakal daripada kalangan orang kafir dan juga orang Islam tetapi ahli maksiat yang selalu melakukan dosa kecil dan besar. Ayat di bawah menerangkan lebih lanjut maksud fasik.

Dan sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) ayat-ayat keterangan yang jelas nyata (al-Quran) dan tidak ada yang akan mengkufurkannya (mengingkarinya) melainkan orang-orang yang fasik. (Al-Baqarah:99)

Di samping itu agama Islam juga menggalakkan umatnya agar menyatakan perkara kebaikan atau diam tidak memberi ulasan dalam sebarang perkara atau dakwaan yang tidak ada kaitan dengan mereka.

Jika sesuatu perkara tidak diketahui latar belakangnya maka sudah tentu itu merupakan perkara yang kita sebagai umat Islam tidak diberi mandat untuk memberi komen apatah lagi menyokong dakwaan berkenaan.

Kesan sebarang kenyataan menyokong oleh orang Islam khasnya pemimpin masyarakat tanpa usul periksa dan maklumat tepat dalam dakwaan dan isu yang timbul sudah tentu memberi gambaran yang mengelirukan kepada masyarakat awam Islam.

Pada masa sama, tindakan ini sebaliknya lebih memberi keuntungan kepada pihak tertentu yang ingin melihat kelemahan umat Islam.

Oleh itu, dalam isu-isu masyarakat apatah lagi berkaitan dengan hidup beragama orang Islam, kita perlu menyelidik berita atau isu yang ditimbulkan sebelum mengambil sebarang pendirian dan tindakan agar tidak terjebak ke dalam perlakuan fitnah.


Ramadan.... antara ibadat dan adat

ikhsan UO9


PERTANYAAN ini dimajukan oleh Nabi kepada para sahabatnya dan kepada umat Islam umumnya. Ini menunjukkan tidak sedikit dari kalangan orang Islam yang menahan makan dan minum pada bulan Ramadan, namun tidak mendapat apa-apa faedah dan pahala daripadanya.

Mulut yang berpuasa bukan sekadar tidak makan atau minum serta tidak memasukkan sesuatu yang membatalkan puasa. Puasa juga menuntut kita menahan mulut daripada perkara-perkara yang akan menghilangkan pahalanya.

Selain merehatkan jasad dan anggota badan, Ramadan juga medan melatih akhlak mulia. Imam Bukhari merekodkan hadis dari Nabi: Apabila kamu berpuasa, maka hendaklah pendengaranmu, penglihatanmu dan lidahmu turut berpuasa daripada segala yang haram. Jauhilah daripada suka menyakiti jiranmu, hendaklah kamu bertenang dan beramal dan jangan biarkan hari tidak berpuasa dan hari berpuasa adalah sama.

Perintah menjaga pendengaran, penglihatan dan lidah atau ringkasnya menjaga adab dan akhlak tidak hanya khusus pada bulan Ramadan sahaja. Namun penekanan diberi pada bulan Ramadan ketika umat Islam berpuasa. Ini kerana orang-orang yang lapar berpuasa cenderung gagal mengawal emosi dan bertindak di luar kawalan. Sehingga lahir ungkapan 'bangsa yang pemarah adalah bangsa yang rakyatnya lapar.'

Banyak pakar-pakar kesihatan di seluruh dunia menyarankan untuk mengatasi amarah dengan makanan yang mengandung glukosa atau makanan peningkat suasana hati untuk mencegah rasa lapar. Salah satu makanan yang kaya dengan glukosa ialah makanan pilihan Nabi ketika berbuka puasa iaitu buah kurma.

Antara akhlak yang dituntut oleh Nabi ketika berpuasa termasuklah meninggalkan kata-kata dusta. Ia termasuk hal yang membatalkan pahala puasa.

Ini dijelaskan dalam hadis yang direkodkan oleh Imam Bukhari dalam kitab Sahihnya: Siapa yang puasanya tidak mencegah dari bercakap dusta dan melakukan kedustaan, maka Allah merasakan dia tidaklah perlu menahan makan dan minumnya (puasa).

Demikian juga meninggalkan hal yang tidak berfaedah dan sia-sia, Bukanlah puasa itu dengan semata-mata menahan diri dari makan dan minum, tetapi puasa itu ialah dengan menahan diri dari hal yang sia-sia dan perkataan yang keji. (Sahih Al-Jami As-Saghir) (riwayat Bukhari dan Muslim)

Hal yang sia-sia paling banyak dilakukan oleh orang-orang yang berpuasa pada bulan Ramadan. Antara kegiatan yang selalu dilakukan untuk menghabiskan masa di siang hari Ramadan ialah menonton televisyen, mendengar rancangan radio dan muzik-muzik di radio.

Secara umumnya kedua media ini menyajikan kandungan yang tidak berfaedah dan sia-sia. Bahkan ada kandungan khusus disiapkan untuk siaran Ramadan seperti drama sinetron. Manakala bulan puasa adalah bulan yang paling banyak rancangan bertemakan makan, baik makan bersahur, makan berbuka dan makanan hari raya. Maknanya, Ramadan sudah bertukar menjadi pesta makanan.

Sungguh-sungguh ia tidak mengiltizami semangat menahan lapar dan dahaga. Benarlah apa yang dikatakan oleh masyarakat Barat suatu ketika dahulu tentang televisyen sebagai idiot box.

Banyak lagi hal lain yang tidak dilakukan secara berlebihan melainkan pada bulan Ramadan. Demi menunggu waktu berbuka ramai yang memilih untuk window shoping di pasar raya dan pasar Ramadan. Ada juga yang bersiar-siar menaiki kereta pusing kota atau menunggang motosikal pusing kampung. Sedang umat Islam digalakkan perbanyak doa pada bulan Ramadan terutama menjelang waktu berbuka puasa.

Rezeki

ikhsan UO9


Pada ruangan kali ini penulis ingin membicarakan juzu' ke-29 bermula daripada surah al-Mulk. Surah ini diturunkan selepas surah al-Tur.

Hubungan surah ini dengan surah sebelumnya adalah seperti berikut: Pada surah yang sebelumnya dinyatakan perumpamaan kepada orang kafir tentang dua orang perempuan yang ditakdirkan menerima celaka walaupun mereka itu berada di bawah jagaan dan peliharaan dua orang hamba Allah yang baik.

Di samping itu, dinyatakan juga kepada orang yang beriman tentang Aisyah r.a dan Maryam yang telah ditakdirkan menerima kebahagiaan walaupun sebahagian besar kaum mereka itu kafir.

Selanjutnya dalam surah ini pula, ia dimulakan dengan pembentangan tentang kekuasaan ilmu Allah SWT, kekuasaan dan sistem pentadbiran-Nya yang mantap menurut ketentuan-Nya.

Sayid Qutub berkata: Ucapan tasbih di permulaan surah ini menyarankan keberkatan Ilahi yang melimpah ruah dan mengagungkan sebutan Kerajaan seluruh alam, menyarankan kelimpahan keberkatan Ilahi di atas Kerajaan itu di samping mengagungkan keberkatan itu di alam buana pada Zat Ilahi. Ucapan tasbih merupakan sebuah lagu yang bergema di merata pelosok alam dan memenuhi setiap hati yang maujud. Isa bertolak dari firman Allah SWT dalam al-Quran dari Kitab Lauh Mahfuz yang tersembunyi menuju ke alam nyata yang diketahui umum.

Al-Maraghi berkata: Penetapan keperkasaan dan pengampunan Allah SWT itu menunjukkan Dia Berkuasa dan menguasai ilmu pengetahuan sehingga Dia mampu memberi balasan kepada sesiapa yang mengerjakan perbuatan jahat dengan pahala serta seksaan. Dia juga Maha Mengetahui orang yang mentaati-Nya dari kalangan orang yang menderhakai-Nya. Justeru tidak akan berlaku kesilapan untuk menyebarkan kebenaran kepada orang yang berhak menerima pahala atau dosa hukuman.

Muhammad Quraish Shihab berkata: Penggunaan sifat al-Rahman dalam ayat di atas bertujuan mengingatkan semua pihak bahawa ciptaan-Nya, baik yang terdiri dari tujuh langit mahupun selainnya benar-benar kerana rahmat dan kasih sayang Allah SWT bukan kerana sesuatu yang lain. Allah tidak menciptakan untuk meraih sedikit manfaat buat diri-Nya. Itu semata-mata adalah manifestasi dari kehendak-Nya untuk melimpahkan rahmat kepada makhluk khususnya manusia kerana Dia adalah al-Rahman.

Menurut pendapat Qatadah: Allah SWT mencipta bintang itu untuk tiga tujuan iaitu; sebagai perhiasan di langit, alat merejam syaitan dan tanda panduan yang dapat digunakan sama ada di darat atau di laut. Barang siapa yang membicarakannya lain daripada tujuan yang telah digariskan, maka sudah pasti dia dianggap sudah melampaui batas dan zalim.

Sayid Qutub berkata: Neraka Jahannam yang digambarkan di sini merupakan makhluk hidup yang memendamkan kemarahannya. Bunyi nafasnya mendengus dan menderu tinggi dan ia terus menjulang. Dadanya penuh sebak dengan kemarahan hingga hampir meledak kerana marah dan benci yang meluap-luap terhadap orang kafir.

Memang jelas bahawa pertanyaan ini untuk mengecam dan menghina mereka. Para penjaga dan pengawal neraka turut serta bersama Neraka Jahannam menyatakan kemarahan mereka dan turut serta mengazabkan orang kafir. Tiada yang lebih pahit dari kecaman dan penghinaan orang yang sedang berada dalam kesusahan dan penderitaan.

Al-Zajjaj berkata: Mereka mengaku yang mereka layak masuk neraka dengan sebab kesesatan dan tidak mendengar peringatan serta berfikir tetapi hanya sebuah keluhan untuk selamat daripada api neraka. Sebahagian ulama berpendapat perkataan suhq membawa maksud satu lembah dalam neraka.

Al-Maraghi berkata: Orang yang takut kepada-Nya tidak akan melakukan kejahatan walaupun tiada individu lain yang melihatnya. Dalam keadaan itu dia boleh melakukan apa sahaja yang dikehendaki tetapi dia takut kerana seolah-olah Allah SWT melihat setiap perbuatan itu.

Ibn Abbas berkata: Sebab turunnya ayat ini kerana orang-orang musyrikin sentiasa mengenakan Rasulullah dengan perancangannya tetapi Jibril AS memberitahu kepada Baginda. Justeru, mereka berkata perlahanlah suara kamu agar Tuhan Muhammad tidak mendengarnya sebaliknya Allah SWT menjawab bahawa Dia Mengetahui segala-galanya.

Ibnu al-Jauzi berkata: Allah SWT jadikan bumi ini semata-mata untuk manusia sedangkan perkataan berjalanlah di segala penjurunya memberi maksud kepada tiga pendapat:

1. Segala jalan-jalannya. Inilah diriwayatkan oleh al-Aufi daripada Ibn Abbas dan ini pendapat Mujahid.

2. Gunung-ganang dan bukit-bukau. Ini riwayat Ibn Abi Talhah daripada Ibn Abbas dan juga pendapat Qatadah serta dipilih oleh al-Zajjaj.

3. Segala pelusuknya. Inilah pendapat Muqatil, al-Farra', Abu Ubaidah dan dipilih oleh Ibn Qutaibah.

Sayid Qutub berkata: Segala rezeki yang wujud di bumi ini daripada ciptaan Allah SWT dan seluruh rezeki itu adalah milik-Nya. Inilah pengertian yang lebih luas daripada pengertian yang difahami sepintas lalu oleh manusia dari kata-kata rezeki itu.

Rezeki itu bukan hanya harta yang dimiliki seseorang yang membolehkannya memperoleh barangan keperluan dan kenikmatan malah rezeki itu ialah segala faktor atau sebab yang mendatangkan rezeki dijadikan Allah SWT di bumi ini.

Faktor-faktor itu asalnya berpunca daripada sifat bumi yang diciptakan Allah SWT dari pelbagai unsur dan pembahagian itu mengikut nisbah yang tertentu. Kemudian barulah kebolehan yang dilengkapkan Allah pada tumbuh-tumbuhan, haiwan termasuk manusia untuk mempergunakan unsur itu.

Semoga Allah SWT kurniakan kita rezeki yang halal dan diberkati-Nya. Amin.

Biar al-Quran yang berhujah mempertahankan kita di hadapan Allah SWT

...ikhsan UO9

Firman Allah yang bermaksud: Dan apabila mereka mendengar al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah (Muhammad SAW), engkau melihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan apa yang mereka ketahui (melalui Kitab mereka) dari kebenaran (al-Quran), sambil mereka berkata: "Wahai Tuhan kami, kami beriman (kepada Nabi Muhammad dan Kitab Suci al-Quran), oleh itu tetapkanlah kami bersama-sama orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui kebenaran Nabi Muhammad SAW). (al-Maidah: 83)

Lihatlah sifat dan ciri para sahabat apabila turun al-Quran kepada mereka, ada yang menangis, ada yang gementar, sungguh hebat cinta mereka terhadap al-Quran.

Apa yang dimaksudkan dengan tadabbur? Maksud tadabbur adalah: Adalah renungan yang cermat, dan percermatan ayat-ayat al-Quran untuk dapat memahami makna, hikmah, ataupun maksudnya.

Asma' binti Abu Bakar memberitahu kita bagaimana orang dahulu terhadap bacaan al-Quran yang bermaksud: Dahulu para sahabat apabila dibacakan kepada mereka al-Quran, maka air mata mereka meleleh dan kulit mereka bergetar, sebagaimana Allah telah menjelaskan sifat mereka. (Tafsir Al Qurthubi).

Daripada ayat-ayat di atas dapat disimpulkan tanda tadabbur al-Quran:

# Menyatunya hati dan fikiran ketika membaca al-Quran, dibuktikan dengan berhenti kerana takjub dan mengagumi makna yang terkandung.

# Menangis kerana takut kepada Allah.

# Bertambahnya kekhusyukan.

# Bertambahnya iman, di antaranya diketahui dengan pengulangan ayat secara spontan.

# Merasa bahagia dan gembira.

# Gementar kerana rasa takut yang kemudian diikuti oleh rasa harap dan ketenangan.

Baginda Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: "Barang siapa membaca al-Quran dan beramal dengan apa yang terkandung di dalamnya, (maka) kedua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada Hari Pengadilan yang sinarannya lebih terang daripada cahaya matahari sekiranya matahari itu berada di dalam rumah-rumah kamu di dunia ini". (riwayat Abu Daud & Ahmad).

Daripada Umar r.a, dia berkata: Nabi kalian telah berkata: Sesungguhnya dengan al-Quran ini Allah mengangkat suatu kaum dan merendah yang lainnya. (riwayat Muslim)

Di antara adab yang perlu dipelihara oleh setiap orang yang membaca al-Quran adalah:

1- Ikhlas kerana Allah SWT. Ini kerana amalan membaca al-Quran adalah ibadat, maka setiap ibadat yang dilakukan kerana Allah mesti dilakukan dengan hati yang ikhlas semata-mata mengharapkan keredaan-Nya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar. (al-Bayyinah: 5)

Baginda bersabda yang bermaksud: "Bacalah al-Quran dan berharaplah kamu akan keredaan Allah azza wa jalla…". (riwayat Ahmad dengan sanad yang baik)

2- Membaca dengan hati yang hadir sambil memerhatikan ayat-ayat Allah SWT, serta memahami tuntutan-tuntutan Allah. Dengan demikian akan takutlah hati-hati yang hidup itu. Lantas setiap kali membaca ayat Allah dia merasakan bahawa ayat itu benar-benar ditujukan kepadanya.

Ini ternyata dalam ungkapan Imam al-Qurtubiy yang bermaksud: "Sesiapa yang sampai kepadanya al-Quran seolah-olah Allah SWT telah berbicara dengannya".

Berkata al-Hasan bin Ali yang bermaksud: "Generasi sebelum kamu melihat al-Quran sebagai surat-surat rasmi dari Allah SWT, lalu mereka bertadabbur pada malam hari dan mencarinya di siang hari". (Imam al-Nawawi, al-Tibyan)

3- Membaca al-Quran dalam keadaan suci daripada kekotoran, sama ada kekotoran hukmiy mahupun kekotoran maknawi.

Tuntutan ini semata-mata bagi mengagungkan kalam Allah SWT.

4- Hendaklah membaca al-Quran di tempat-tempat yang bersih, bukan ditempat yang tercemar kebersihannya.

5- Hendaklah memulakan bacaan dengan membaca Istia'azah ('Auzubillah). Ini berdasarkan saranan al-Quran di dalam surah al-Nahl, ayat 98 yang bermaksud: Oleh itu, apabila engkau membaca Al-Quran, maka hendaklah engkau terlebih dahulu) memohon perlindungan kepada Allah dari hasutan syaitan yang kena rejam. Mudah-mudahan dengan demikian dapat menjauhkan gangguan syaitan ketika seseorang membaca al-Quran.

6- Di antara tuntutan yang lain ketika membaca al-Quran adalah memperelokkan alunan bacaan dengan, kalau boleh dengan bertarannum. Galakkan ini dapat dilihat melalui sabda baginda Rasulullah SAW yang bermaksud: Barang yang dibenarkan Allah kepada Nabi-Nya (Rasulullah SAW) bertarannum dengan al-Quran serta meninggikan suara dalam bacaan al-Quran. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Dalam riwayat yang lain Jubair bin Muta'am r.a berkata yang bermaksud: Aku telah mendengar Rasulullah SAW membaca surah al-Thur dalam solat maghrib, Aku sama sekali tidak pernah mendengar bacaan yang seindah itu dari sesiapa pun sebelum ini. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Namun demikian kita dilarang mengganggu orang solat atau orang tidur dengan bacaan yang kuat.

7- Hendaklah membaca al-Quran dengan tartil, menurut saranan al-Quran. Firman Allah SWT yang bermaksud: …dan bacalah Al-Quran dengan tartil. (al-Muzammil: 4)

Membaca dengan penuh ketenangan tanpa tergopoh-gapah. Kadang-kadang ada di antara kita yang hendak mengejar khatam sampai lupa untuk menjaga hukum tajwid dan fasahah.

Apabila seseorang itu membaca al-Quran dengan terkejar-kejar pasti akan melakukan banyak kesalahan. Lebih rugi lagi apabila membaca al-Quran tidak sempat memahami maksud ayat-ayat Allah SWT.

Kebanyakan orang yang bertadarus kadang-kadang tidak begitu serius dalam membetulkan bacaan apa yang menjadi matlamat mereka adalah khatam al-Quran.

Apa ertinya saban tahun kita mengkhatam al-Quran tapi tidak ada yang berusaha memahaminya. Tidak faham bahasa al-Quran bukanlah alasan yang munasabah untuk tidak menghayati al-Quran.

Janganlah sampai kita dilaknat al-Quran gara-gara membaca tanpa ada usaha ke arah memahaminya. Soalan yang paling mudah untuk kita faham bersama, berapa lama kita sudah membaca surah Yasin?

Mungkin ada di antara kita yang membaca surah Yasin untuk 10 tahun atau lebih dari itu, dan mungkin juga kurang dari itu, tapi soalan ini saya tujukan kepada yang sudah lebih 10 tahun membaca Yasin.

Adakah mereka faham apa yang dibaca, dek kerana dah lama membaca Yasin dah ada yang menghafalnya pun, sayangnya dia hanya membaca dan menghafal tetapi tidak memahaminya.

Kita juga tidak mahu mendapat kerugian melalui al-Quran, kelak al-Quran akan berhujah ke atas orang yang membaca sahaja al-Quran tapi tidak beramal dengannya.

Apa yang kita harap, biar al-Quran yang berhujah mempertahankan kita di hadapan Allah SWT.