Sunday, December 30, 2012

“Anak saya minat Lady Gaga, ustaz!”

 

“Anak saya minat Lady Gaga, ustaz!”

http://saifulislam.com, 30 Dis 2012
“Bagaimana kami hendak menjawab kepada anak-anak yang semakin meningkat remaja, persoalan mengapa mereka perlu bertudung, kenapa kena bataskan pergaulan antara lelaki dan perempuan serta hal-hal lain yang sering menjadi persoalan mereka?” salah seorang sahabat yang hadir di dalam halaqah kami bertanya.

Ia persoalan yang berat.

Menjawabnya secara mudah akan seperti memandang remeh dan enteng persoalan itu.

Kepala saya ligat berfikir.

Hari ini, saya sedang berhalaqah dengan rakan-rakan komuniti Malaysia yang berkampung di Lucan, Dublin. Kami berbicara tentang Ibrah Daripada Surah Luqman. Soalan yang hadir daripada ibu bapa yang membesarkan anak-anak mereka di ‘negeri orang’. Ironinya, soalan yang sama telah beberapa kali saya terima daripada ibu bapa yang membesarkan anak-anak di kampung halaman sendiri.

Di Malaysia.

“Saya tiada jawapan mudah untuk soalan puan. Menjawabnya secara mudah akan seperti memandang persoalan itu remeh sedangkan persoalannya sangat besar” saya berkongsi pandangan.

Satu perkara yang boleh kita analogikan, apabila seorang pesakit sentiasa mengeluh tentang tidurnya yang tidak lena, banyak berdengkur, diabetis yang tidak sembuh, celah peha dijangkiti kulat dan badan sentiasa penat, semua masalah itu serius dan mengganggu saban hari. Namun apakah semua itu masalah sebenar, atau segalanya datang daripada masalah yang lebih mendasar?

Inilah yang membawa perbincangan kami malam tadi kepada kerangka Surah al-Kahf.

Surah al-Kahf memahamkan kepada kita bahawa manusia bertindak tanduk, tidak secara rawak (random). Keputusan-keputusan harian kita, merupakan jelmaan perisian dalaman diri yang menjadi sasaran serangan Dajjal, dan Surah al-Kahf pula melindungi perisian itu daripada serangan tersebut.


Apabila kita memberikan anak-anak pendidikan agama, iceberg ini boleh membantu kita membuat penilaian sejauh manakah anak-anak malah diri kita sendiri telah berjaya ‘beragama’.

Jika ritual yang menjadi penilaian, ritual mungkin berlegar hanya pada tip of the iceberg.

Namun kita perlu bertanya, adakah anak kita mempercayai sesuatu dengan cara percaya Islam?

Apa aqidahnya?

Bagaimanakah cara anak kita berfikir dan melihat? Adakah mereka memandang dengan pandangan Islam? Adakah mereka memandang kehidupan ini dengan pandangan hidup Islam?

Apakah sistem nilai mereka? Adakah mereka menilai baik dan buruk, penting dan tidak penting, berharga dan tidak berharga, berasaskan kepada nilai Islam?

Ini adalah di antara beberapa persoalan dasar yang boleh ibu bapa jadikan ia sebagai asas untuk memantau perkembangan proses beragama anak-anak.

“Anak saya minat benar dengan Lady Gaga!” kata seorang ibu dalam salah sebuah program yang pernah saya kendalikan.

“Minat lagu atau menjadikan Lady Gaga sebagai idola?” saya cuba mendapatkan kepastian.

“Lady Gaga itu menjadi inspirasinya!” kata ibu berkenaan. Gelisah.

Biar pun si ibu dan anaknya sama-sama beraqidah Islam, tetapi ada missing link antara aqidah mereka dengan cara mereka memandang kehidupan. Lady Gaga itu entahlah apa agamanya, tetapi cara pandang hidupnya, ialah pada melihat setiap manusia memiliki dirinya sendiri dan berhak menentukan apa yang baik dan buruk untuk dirinya, dan manusia lain perlu menghormatinya, biar seganjil mana pun ia.

Hakikatnya itu bukan pandangan hidup Islam.

Bagaimana seorang anak Muslim, yang diajar Aqidah Islam, boleh memiliki pandangan hidup yang bertentangan dengan Islam? Lalu seterusnya berpegang dengan sistem nilai yang jauh daripada Islam?

Mungkin Aqidah yang dipelajari, dipelajari secara random dan tidak akhirnya berumusan. Sedangkan dalam semua-semua topik Aqidah kita, sepatutnya ia berakhir dengan kejayaan menjawab tiga soalan utama iaitu:
  1. Siapa aku?
  2. Siapa Allah?
  3. Apakah makna kehidupan ini?

Jawapan kepada tiga soalan itulah yang membentuk cara pandang dan cara fikir Islam.

  1. Aku hamba Allah.
  2. Allah Tuhan dan Penciptaku.
  3. Hidup ini adalah kehambaanku kepada Allah.

Maka pandangan hidup kita akan menjadi pandangan hidup Islam.

Lalu apa yang penting di sisi Islam, pentinglah di sisi kita.

Apa yang utama di dalam Islam, utamalah di sisi kita.

Solat.

Tudung.

Batas-batas pergaulan.

Mungkin masih culas kerana gangguan nafsu, tetapi tidak lagi berbentuk mempersoalkan.

Pokoknya, mendidik anak-anak di era Dajjal ini tidak cukup sekadar melunaskan tuntutan tip of the iceberg.

Kita perlu mendasar.

Ke dalam.

Dan bertuahlah ibu bapa yang ada upaya berbual dengan anak-anak, kerana perbualan ini menyinarkan harapan untuk persoalan ini dikongsi oleh guru pertama dan guru terbaik anak-anak kita.


Ibu dan bapa!

TUJUH BUAH FIKIRAN

  1. Ibu bapa perlu membezakan di antara masalah yang kelihatan dengan masalah yang sebenar. Masalah anak-anak seperti tudung, solat, pergaulan bebas, perlu dinilai apakah ia masalah yang sebenar atau ia merupakan simptom kepada satu masalah lain yang lebih mendasar.
  2. Manusia tidak bertindak tanduk secara random. Perbuatan manusia mempunyai mekanisme yang jika difahami, boleh membantu kita mengenal pasti mengapa masalah-masalah yang kelihatan itu timbul.
  3. Surah al-Kahf memberikan kerangka bahawa perbuatan manusia adalah hasil daripada
    1. Sistem kepercayaan
    2. Sistem fikir dan lihat (pandangan hidup)
    3. Sistem nilai
  4. Pendidikan agama mesti dicerakinkan kepada elemen-elemen yang membentuk kepercayaan, cara pandang dan fikir, serta cara menilai.
  5. Ibu boleh boleh menilai, semasa anak membuat pilihan (misalnya pakaian), adalah pilihannya merupakan pilihan yang mencerminkan kepercayaan dan pandangan hidup Islam, atau bagaimana?
  6. Perbualan tentang Islam bersama anak-anak boleh dipecahkan kepada elemen-elemen itu tadi, seperti:
    1. “jom kita berdoa, Allah pasti membantu” (kepercayaan)
    2. “kita kena berusaha sebaik mungkin, kemudian baru bertawakkal (kepercayaan)
    3. “kami ibu bapa kamu, tetapi Allah Tuhan kami dan kami. Kita semua hamba Allah” (kepercayaan)
    4. “apa tujuan kita ke sekolah?” (pandangan hidup)
    5. “Kenapa dalam peperiksaan kita mesti yakin dengan usaha sendiri dan tidak meniru?” (pandangan hidup)
    6. “Mengapa kita sambut Aidiladha dan Aidilfitri, kita tidak sambut Krismas?” (pandangan hidup)
    7. “Duit kita, elok kita gunakan sebaik mungkin, tetapi 2.5%, kita asingkan untuk sumbangan” (sistem nilai)
    8. “Jom kita solat dahulu. Cuci kereta yang ayah minta tolong tu kita buat kemudian” (sistem nilai)
    9. “Kalau kawan suka, Allah tak suka, kita pun tidak bahagia. Utamakan Allah suka. Mama pun suka” (sistem nilai)
  7. Sekali lagi, upaya komunikasi yang efektif antara ibu bapa dan anak, akan banyak membantu proses pendidikan berlangsung dengan sebaiknya.

HASRIZAL
LUCAN, DUBLIN

Wednesday, December 26, 2012

BBQ n Santai2 bersama2 di teratak RM

reunionSMRS's BBQ 251222012 album on Photobucket


Tajuk : BBQ n Santai2 bersama2 di teratak RM
Tarikh : Hari Selasa 25hb
Lokasi : Saujana Utama

Untuk kesekian kalinya penjodohan bergema lagi bagi memesrakan lagi ukhuwah yang sekian lama telah terjalin. Pentarikhan yang telah di atur dan direalisasikan dengan jayanya dek tenaga keringat tanpa mengenal erti menyerah.

Terima kasih sakalung budi di atas keizinan tuan rumah yang telah berbesar ikhlas menabur dan memberi ruang yang indah di hening petang buat kunjungan dan keakraban bersama-sama.

Terima kasih segunung impaian kepda semua pengatur2 yang telah memeriahkan aturcara yang informal tapi indah buat kenangan. Semoga ada maanfaat dan dapat diteruskan untuk kesinambungan masa hadapan.

Terima Kasih Daun Keladi.

Wednesday, December 12, 2012

BILA USIA MENJELANG EMPAT PULUH…



 
 
credit to......Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Waktu berlari dengan pantas. Detik, jam, hari, minggu, bulan dan tahun terus beredar dalam kealpaan insan atau sedar. Waktu yang berlalu tidak pernah menunggu persetujuan kita, atau menunggu sambutan tahunan. Samada ia disambut, atau ia tentang tiada siapa dapat menghalang perjalanannya. Ia terus datang dan pergi. Berlari tanpa henti. Dalam setiap nafas insan yang disedut atau dihembus keluar, waktu terus beredar.

Waktu tidak pernah hirau yang mati atau yang hidup. Waktu terus datang tanpa diundang, dan ia akan berlalu tanpa dihalang. Waktu adalah makhluk makhluk Tuhan yang paling ajaib. Berulang kali dalam al-Quran yang suci, Allah bersumpah dengannya; Demi masa! Demi waktu fajar! Demi waktu malam! Demi waktu dhuha! Demi waktu subuh dan seterusnya. Ciptaan yang maha ajaib.

Tiada raja, tiada penguasa yang mampu menghalang waktu dari beredar. Kita adalah makhluk Allah yang dipenjara dalam ikatan waktu. Tidak mampu keluar dari sistemnya walaupun sedikit, melainkan dengan izin Allah jua. Jika Allah mahu, nilaian dan kadar waktu kita akan berbeza atas kurniaan keberkatan dari Pencipta waktu iaitu Allah Yang Maha Agung!

Saya menulis tulisan ini ketika melihat tanpa mampu menghalang usia sendiri yang makin bergerak menuju 40 tahun. Tak berapa lama lagi, angka itu akan menjelang. Ramai orang berfalsafah tentang usia empat puluh. Ada yang berkata ia permulaan ‘kenikmatan hidup’, ada pula yang berkata ia adalah permulaan tarikh luput kehidupan. Ada yang berkata ia detik untuk mula berpesta dengan hidup. Ada yang kata usia empat puluh mula jadi ‘orang tua’. Ya! empat puluh juga menamatkan usia ‘pemuda’ dalam banyak organisasi.

Usia 40 Dalam Al-Quran
Jika kita kembali kepada Allah, Tuhan yang mencipta usia insan, Yang menentukan panjang atau singkatnya, maka kita dapati Al-Quran memberikan ingatan tentang usia 40 tahun dengan penuh makna dan menusuk jantung hati. Demikian Allah berfirman: (maksudnya)
“dan Kami berpesan kepada insan agar berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan kepayahan dan melahirkannya dengan kepayahan, dan tempoh mengandung beserta menceraikan susunya ialah tiga puluh bulan. Setelah dia besar sampai ke peringkat matang yang sempurna dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, maka dia berdoa: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan jadikanlah untuk kebaikan dalam zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadaMu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang menyerah kepadaMu)” (Surah al-Ahqaf: 15)
Bagi yang dapat memahami bahasa Arab, dapat merasai keindahan bilah-bilah ayat di atas. Ia tersusun dengan cantik, indah dan penuh kerohanian. Ia menusuk kalbu, menusuk rohani yang lesu lantas mengheret insan ke dataran Tuhan. Ia mengingatkan tentang perjalanan insan; dari hari dia dalam kandungan ibunya, sehingga dilahirkan, sehingga matang, sehingga berusia empat puluh.
Lalu dia diajar agar berdoa untuk dirinya, untuk keturunannya dan agar dia bertaubat atas segala dosa yang dilalui sebelum menjelang empat puluh. Maka dia pun menjadi insaf yang benar-benar menyerah diri atau muslim. Dengan ayat ini, insan yang insaf tersentuh jantung hatinya, perasaannya tersentak, rohaninya sebak lalu dia terduduk insaf, taubat, ibadat dan terus membasahi perjalanan hidupnya dengan linangan airmata takwa sehingga bertemu Allah.
Keinsafan
Allah dalam ayat di atas mengingatkan insan tentang sejarah hidupnya yang pernah dikandung ibu, agar dia tidak lupa setelah lama hal itu berlalu. Insan diingat tentang payahnya pengorbanan tersebut. Setelah dia dilahir dalam keadaan yang sukar itu, dia mula melalui perjalanan hidup sehingga ke usia matang. Al-Quran tidak pula menyebut tentang berapakah usia matang tersebut. Para mufassirin berbeza pendapat. Namun, ia barangkali sekitar antara 30an ke 40an. Ada yang lebih awal, dan ada pula yang mungkin terlambat. Apapun, insan apabila sampai usia empat puluh maka itu adalah tarikh yang wajib untuk dia mengingati dan menginsafi hakikat kehidupan yang dilaluinya selama ini.
Perjalanan hidup; pahit manis, suka duka, cubaan dan kurniaan, halangan dan laluan kesemuanya menjadi bekal untuk dia meneliti dan memahami ‘apakah makna sebuah perjalanan hidup dan ke mana jalan yang hendak dituju?’. Dalam suasana keinsafan itu, dia lantas berdoa dengan penuh harap agar Allah memberikannya kurnia perasaan ‘kesyukuran’ atas segala nikmat yang diperolehi selama ini. ‘Syukur’ adalah tanda atas keinsafan terhadap hakikat diri bahawa segala nikmat ini hanyalah dari Allah. Maka, hilanglah bongkak, hilanglah sombong, hilanglah bangga diri dan terasa kerdil atas segala yang dinikmati.
Kesombongan
Kesombongan atau bongkak adalah musuh insan. Kesombonganlah yang menimbulkan pemusuhan antara Iblis dan Adam, kesombonganlah yang menjadikan Iblis dilaknat. Kesombongan juga yang menyebabkan Firaun dan Qarun menolak dakwah. Kesombonganlah yang menyebabkan ada insan yang dihina kerana kekurangan yang ada padanya. Kesyukuran membunuh kesombongan. Usia 40 tahun, usia yang menghalau kesombongan, bukan usia untuk mendabik dada dengan menyatakan ‘aku, aku dan aku..’ tetapi usia yang mengingatkan insan untuk berkata ‘segalanya nikmat Allah’. Hilang bongkak, lalu nikmat ibadah pun menjelang dan insan memohon kurnia agar dia dapat terus beribadah dengan cara yang diredhai Allah. Pada usia ini, teringat pula tentang zuriat yang bakal muncul dalam kehidupan, lantas insan pun berdoa untuk zuriatnya seperti yang Allah ajar dalam ayat di atas.
Selepas itu, menginsafi perjalanan hidup selama empat puluh tahun, insan pun berkata “Sesungguhnya aku bertaubat kepadaMu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang menyerah kepadaMu)”. Bergabunglah keinsafan, taubat dan penyerahan. Maka berdasarkan ayat dalam Surah al-Ahqaf ini, kita diajar untuk bertaubat apabila menjelang usia 40 tahun. Kata al-Imam Ibn Kathir (w. 774H):
“Ayat ini memberikan petunjuk bahawa insan apabila menjelang usia 40 tahun hendaklah memperbaharui taubat dan kembali kepada Allah, serta bersungguh-sungguh mengenainya” (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/281. Saudi: Dar al-Tibah).
Ganjarannya..
Apabila itu berlaku menjelang usia 40 tahun, maka Allah memberikan janjiNya dalam ayat selepas itu: (maksudnya)
“mereka (yang bersifat seperti itu) itulah orang-orang yang Kami (Allah) terima dari mereka amalan yang baik yang mereka telah amalkan, dan Kami ampunkan kesalahan-kesalahan mereka; (mereka akan dimasukkan) dalam ahli syurga, sebagai memenuhi janji yang benar, yang telah dijanjikan kepada mereka”. (Surah al-Ahqaf: 16).
Indahnya janji dari Yang Maha Benar. Diterima segala kebaikan, diampun kesalahan dan dimasukkan ke dalam syurga. Alangkah indahnya. Soalnya, mampukah diri memulakan azam baru dan beristiqamah atasnya?! Berikanlah pertolonganMu Ya Allah!
Kematangan
Usia 40 tahun adalah usia yang mengajakkan kita untuk bersungguh dalam hidup. Mengumpulkan pengalaman, menajamkan hikmah dan kebijaksanaan, membuang kedangkalan ketika usia muda yang lepas, lebih santun, lebih berhati-hati, melempar jauh kegopohan lepas, melihat sesuatu dengan hikmah dan penuh penelitian. Usia 40 adalah usia matang yang berbekalkan pengalaman empat dekad. Maka tidak hairan tokoh-tokoh pemimpin muncul secara matang pada usia ini. Bahkan Nabi s.a.w, seperti yang disebut oleh Ibn ‘Abbas:
“Dibangkitkan Rasulullah s.a.w pada usia 40 tahun” (Riwayat al-Bukhari).
Usia 40 usia adalah tanda aras usia insan yang insaf, syukur, merendah diri, ibadah, harapan, taubat dan penyerahan. Usia 40 adalah usia bersungguh-sungguh dalam memikul amanah, membuang kedangkalan, mengambil iktibar dari pengalaman dan bertindak dengan hikmah dan kebijaksanaan. Ya Allah! Selamat kami pada usia ini sehingga kami bertemuMu!

Tuesday, December 11, 2012

Sunnah Rasulullah saw



اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّيْ لاَ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ، خَلَقْتَنِيْ وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوْءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوْءُ بِذَنْبِيْ فَاغْفِرْ لِيْ فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلاَّ أَنْتَ
 
Ya Allah! Engkau adalah Rabbku, tidak ada Rabb yang berhak disembah kecuali Engkau, Engkaulah yang menciptakan aku. Aku adalah hambaMu. Aku akan setia pada perjanjianku denganMu semampuku. Aku berlindung kepadaMu dari kejelekan yang kuperbuat. Aku mengakui nikmatMu kepadaku dan aku mengakui dosaku, oleh karena itu, ampunilah aku. Sesungguhnya tiada yang mengampuni dosa kecuali Engkau." [ HR.Bukhari]
 

Tuesday, December 4, 2012

Menangislah kerana Allah

ikhsan via

...


Detik Islam, 03 Dis 2012  
Mengapa kadang-kadang kita menangis, dan siapa yang menetapkan fitrah (naluri) ini kepada kita yakni fitrah menangis? Seorang bayi sejak lahir ke dunia ini kita melihatnya menangis dan seseorang yang rapat dengan kita juga menangis. Maka menangis adalah fitrah Allah ciptakan pada diri manusia, dan kebanyakan orang-orang jahil meyakini bahawa menangis tidak ada manfaatnya. Akan tetapi terdapat beberapa kajian untuk membuktikan kebalikan dari keyakinan orang-orang jahil tersebut.

Dalam al-Quran menyebutkan bahawa menangis adalah sifat yang baik namun dengan syarat bahawa menangis itu kerana rasa takut kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Beberapa pakar psikologi melontarkan satu idea "Perubatan Dengan Menangis"

Seperti dilaporkan dari laman Al-Sofwa, satu penyelidikan dilakukan oleh para penyelidik AS dan Belanda menemui kebaikan di sebalik menangis bahawa kebanyakan orang merasakan bertambah baiknya perasaan mereka setelah menangis dan pada saat yang sama, hanya satu orang dari 10 yang keadaanya adalah buruk selepas itu (selepas menangis ).

Ahli psikologi dari University of South Florida, AS dan Universiti Tilburg, Belanda mendapati bahawa orang yang menangis dan mengeluarkan air matanya merasakan bertambah baiknya perasaan mereka.

Sebaliknya, tercatat bahawa sekitar satu pertiga daripada 3,000 orang yang mengikuti kajian tersebut, perasaan mereka tidak baik selepas menangis. Hasil kajian ini diterbitkan dalam American Journal of Psychology - mengaitkan antara manfaat menangis dengan tempat dan waktu menangis tersebut. Kajian ini melihat bahawa menangis memberikan kesan menenangkan, seperti pernafasan yang menjadi lambat dan hal ini dapat mengurangkan kadar denyutan jantung. Para penyelidik menganggarkan bahawa hal inilah menyebabkan mengapa manusia mengingat perkara yang positif selepas menangis dan menghidari perasaan tegang.

Para penyelidik melakukan penyelidikan mengenai tangisan di makmal dan mereka mendapati bahawa kebanyakan hasilnya adalah perasaan yang buruk. Mereka merumuskan bahawa sebabnya adalah keadaan tegang, imaginasi dan pemantauan. Hal-hal demikian akan menimbulkan perasaan-perasaan negatif yang menghalang kebaikan yang positif berkaitan dengan menangis.

Kajian ilmiah ini menguatkan apa yang ada dalam kajian sebelum ini, tentang manfaat menangis yang dirasakan oleh para penyelidik di bidang psikologi. Namun para penyelidik tersebut tidak mengetahui cara menangis yang betul dan berkesan!

Menangis kadang-kadang boleh menjadi ubat untuk banyak penyakit, tetapi dengan syarat bahawa tangisan tersebut disebabkan rasa takut kepada Allah. Dan itulah yang dikhabarkan al-Quran, dengan firman-Nya ketika menceritakan tentang orang-orang beriman yang khusyuk 'yang hati mereka merasakan pengaruh dari firman Allah, apa reaksi mereka? Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman tentang mereka:

"Dan mereka menyungkur atas muka mereka sambil menangis dan mereka bertambah khusyuk." (Surah al-Israa' :  ayat 109)

Lihatlah bagaimana penjelasan Ilahi ini mengaitkan antara menangis dengan khusyuk. Maka kedua-duanya adalah cara yang terbaik untuk mengubati penyakit mental.

Menangis disebabkan rasa takut kepada Allah menambah kekhusyukan dan ketakutan kepada Allah pada diri seorang yang beriman, dan membuatnya lupa kepada kesedihan, dan kebimbangan-kebimbangan lain.Mengapa hal ini terjadi? Orang yang dipengaruhi oleh firman Allah dan membayangkan kegerian hari kiamat serta mengingat kebesaran Sang Pencipta, nescaya akan dapat menghindari masalah dan kesedihan yang dihadapinya sehingga dia lupa akan masalahnya.

Ini adalah langkah pertama dalam proses menyelesaikan masalah apapun yang dihadapi iaitu dengan melihat masalah ini sebagai sesuatu yang remeh dan boleh diselesaikan sehingga dengan demikian dia akan mudah menyelesaikan masalah tersebut. Perkara ini telah ditegaskan oleh pakar psikologi dan program neuro-linguistic tentang penyelesaian masalah dan kesukarannya.

Oleh itu, Allah menyebutkan berkaitan "menangis" pada beberapa ayat di dalam al-Quran. Dia menjadikannya sebagai tempat untuk mendekatkan diri kepada Allah dan sebagai indikasi kejujuran seorang mukmin takutnya kepada Sang Pencipta, Yang Maha Berkuasa. Allah berfirman:

“Maka patutkah kamu merasa hairan terhadap keterangan-keterangan Al-Quran ini (sehingga kamu mengingkarinya)? Serta kamu tertawa (mengejek-ejeknya) dan kamu tidak mahu menangis (menyesali kesalahan kamu serta takutkan balasan buruk yang akan menimpa kamu)? Sedang kamu adalah orang-orang yang sombong angkuh, lagi yang melalaikan kewajipan? Oleh hal yang demikian, hendaklah kamu sujud kepada Allah (yang telah menurunkan Al-Quran itu) dan beribadatlah kamu kepada-Nya (dengan sepenuh-penuh tauhid).”(Surah An-Najm: ayat 59-62)

Maka dalam nas al-Quran ini, Allah memerintahkan kita untuk menangis kerana takut kepada-Nya dan agar kita menjauhi perkara sia-sia serta menjauhi banyak ketawa. Hal itu tidak menghalang kita daripada tersenyum yang juga tergolong sebagai ubat (untuk mengubati kesedihan dan masalah).

Sesungguhnya menangis,, khusyuk, dan doa adalah resipi yang bagus untuk mengubati ketegangan jiwa. Kita memohon kepada Allah agar menjadikan kita termasuk antara golongan yang Allah berfirman tentang mereka:

"... Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam (mengerjakan) perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan harap dan cemas. Dan mereka adalah orang-orang yang khusyuk kepada Kami. " (Surah al-Anbiyaa : ayat 90)


Oleh itu, perlunya kita pada zaman ini berdoa, khusyuk, dan tangisan yang disebabkan kerana rasa takut kepada Allah.

Semoga Allah melepaskan kesedihan kita dan memberikan kesabaran kepada kita kerana tidak ada pemberian daripada Allah yang lebih luas berbanding kesabaran sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.

Monday, October 22, 2012

99 Nama Nama Allah

***credit to... Oleh lynn, 30-Aug-2002 00:45:21 1. Ar-Rahman - Yang Maha Pemurah 2. Ar-Rahim - Yang Maha Mengasihi 3. Al-Malik - Maharaja Teragung (Yang Maha Menguasai) 4. Al-Quddus - Yang Maha Suci 5. Al-Salam - Yang Maha Selamat Sejahtera 6. Al-Mu'min - Yang Maha Melimpahkan Keamanan 7. Al-Muhaimin -Yang Maha Pengawal serta Pengawas 8. Al-Aziz - Yang Maha Berkuasa 9. Al-Jabbar - Yang Maha Kuat (menundukkan segala-galanya) 10. Al-Mutakabbir - Yang Melengkapi Segala kebesaranNya 11. Al-Khaliq - Yang Maha Pencipta 12. Al-Bari - Yang Maha Menjadikan 13. Al-Musawwir - Yang Maha Pembentuk 14. Al-Ghaffar - Yang Maha Pengampun 15. Al-Qahhar - Yang Maha Perkasa 16. Al-Wahhab - Yang Maha Penganugerah 17. Al-Razzaq - Yang Maha Pemberi Rezeki 18. Al-Fattah - Yang Maha Pembuka 19. Al-'Alim - Yang Maha Mengetahui 20. Al-Qabidh - Yang Maha Pengekang 21. Al-Basit - Yang Maha Melimpah Ni'mat 22. Al-Khafidh - Yang Maha Perendah (Pengurang) 23. Ar-Rafi' - Yang Maha Peninggi 24. Al-Mu'izz - Yang Maha Menghormati (Memuliakan) 25. Al-Muzill - Yang Maha Menghina 26. As-Sami' - Yang Maha Mendengar 27. Al-Basir - Yang Maha Melihat 28. Al-Hakam - Yang Maha Mengadili 29. Al-'Adl - Yang Maha 'Adil 30. Al-Latif - Yang Maha Lembut serta Halus 31. Al-Khabir - Yang Maha Mengetahui 32. Al-Halim - Yang Maha Penyabar 33. Al-'Azim - Yang Maha Agung 34. Al-Ghafur - Yang Maha Pengampun 35. Asy-Syakur - Yang Maha Bersyukur 36. Al-'Aliy - Yang Maha Tinggi serta Mulia 37. Al-Kabir - Yang Maha Besar 38. Al-Hafiz - Yang Maha Memelihara 39. Al-Muqit - Yang Maha Menjaga 40. Al-Hasib - Yang Maha Penghitung 41. Al-Jalil - Yang Maha Besar serta Mulia 42. Al-Karim - Yang Maha Pemurah 43. Ar-Raqib - Yang Maha Waspada 44. Al-Mujib - Yang Maha Pengkabul 45. Al-Wasi' - Yang Maha Luas 46. Al-Hakim - Yang Maha Bijaksana 47. Al-Wadud - Yang Maha Penyayang 48. Al-Majid - Yang Maha Mulia 49. Al-Ba'ith - Yang Maha Membangkitkan Semula 50. Asy-Syahid - Yang Maha Menyaksi 51. Al-Haqq - Yang Maha Benar 52. Al-Wakil - Yang Maha Pentadbir 53. Al-Qawiy - Yang Maha Kuat 54. Al-Matin - Yang Maha Teguh 55. Al-Waliy - Yang Maha Melindungi 56. Al-Hamid - Yang Maha Terpuji 57. Al-Muhsi - Yang Maha Penghitung 58. Al-Mubdi - Yang Maha Pencipta dari Asal 59. Al-Mu'id - Yang Maha Mengembali serta Memulihkan 60. Al-Muhyi - Yang Maha Menghidupkan 61. Al-Mumit - Yang Mematikan 62. Al-Hayy - Yang Senantiasa Hidup 63. Al-Qayyum - Yang Hidup serta Berdiri Sendiri 64. Al-Wajid - Yang Maha Penemu 65. Al-Majid - Yang Maha Mulia 66. Al-Wahid - Yang Maha Esa 67. Al-Ahad - Yang Tunggal 68. As-Samad - Yang Menjadi Tumpuan 69. Al-Qadir - Yang Maha Berupaya 70. Al-Muqtadir - Yang Maha Berkuasa 71. Al-Muqaddim - - Yang Maha Menyegera 72. Al-Mu'akhkhir - Yang Maha Penangguh 73. Al-Awwal - Yang Pertama 74. Al-Akhir - Yang Akhir 75. Az-Zahir - Yang Zahir 76. Al-Batin - Yang Batin 77. Al-Wali - Yang Wali / Yang Memerintah 78. Al-Muta'ali - Yang Maha Tinggi serta Mulia 79. Al-Barr - Yang banyak membuat kebajikan 80. At-Tawwab - Yang Menerima Taubat 81. Al-Muntaqim - Yang Menghukum (mereka yang bersalah) 82. Al-'Afuw - Yang Maha Pengampun 83. Ar-Ra'uf - Yang Maha Pengasih serta Penyayang 84. Malik-ul-Mulk - Pemilik Kedaulatan Yang Kekal 85. Dzul-Jalal-Wal-Ikram - Yang Mempunyai Kebesaran dan kemuliaan 86. Al-Muqsit - Yang Maha Saksama 87. Al-Jami' - Yang Maha Pengumpul 88. Al-Ghaniy - Yang Maha Kaya serta Serba Lengkap 89. Al-Mughni - Yang Maha Mengkayakan dan Memakmurkan 90. Al-Mani' - Yang Maha Pencegah 91. Al-Darr - Yang Mendatangkan Mudharat 92. Al-Nafi' - Yang Memberi Manfaat 93. Al-Nur - Cahaya 94. Al-Hadi - Yang Memimpin dan Memberi Pertunjuk 95. Al-Badi' - Yang Maha Pencipta Yang Tiada BandinganNya 96. Al-Baqi - Yang Maha Kekal 97. Al-Warith - Yang Maha Mewarisi 98. Ar-Rasyid - Yang Memimpin (Ke arah Kebenaran) 99. As-Sabur - Yang Maha Penyabar

Tuesday, March 6, 2012

Mengapa Doa Tidak Dimakbul

..tinta HM...

Ibrahim Adham, seorang ahli sufi yang sangat masyhur pernah ditanya oleh orang ramai ketika beliau berada di tengah pasar Basrah, mengapa doa kami tidak dimakbulkan Allah pada hal kami selalu berdoa. Ibrahim Adham menjawab: “Kerana hati kamu buta (mati) disebabkan sepuluh perkara, iaitu”:


1. Kamu mengenal Allah tetapi kamu tidak menunaikan hak-Nya.

2. Kamu sangka kamu cintakan Rasulullah tetapi kamu tinggalkan sunnahnya.

3. Kamu membaca al-Quran tetapi kamu tidak beramal dengannya.

4. Kamu makan nikmat Allah tetapi kamu tidak bersyukur kepada-Nya.

5. Kamu mengaku syaitan itu musuh kamu tetapi kamu tidak menentangnya.

6. Kamu mengaku syurga itu benar tetapi kamu tidak beramal untuknya.

7. Kamu mengaku neraka itu benar tetapi kamu tidak lari daripadanya.

8. Kamu mengaku mati itu benar tetapi kamu tidak bersedia untuknya.

9. Kamu bangun dari tidur lalu kamu ceritakan segala keaiban manusia tetapi kamu lupakan keaiban kamu sendiri.

10. Kamu kebumikan mayat saudara-saudara kamu tetapi kamu tidak mengambil iktibar daripadanya.

Daripada sepuluh sebab yang membutakan hati itu tersimpul satu sifat bahawa kebanyakan kita tidak menjunjung tugas sebagai hamba yang sebenar bagi Allah. Sebab itu wajar sekali kita tidak mendapat keistimewaan yang melimpah ruah – setiap panggilan tak mungkin disahut dan setiap permintaan tak mungkin dikabulkan Allah.

Bey Ariffin dalam bukunya Samudra Al-Fatihah antara lain mengatakan; doa seseorang itu tidak akan dimakbulkan Allah walaupun ia merendah diri serendah-rendahnya (khusyu’ dan tawadhu’) sewaktu berdoa, serta memuliakan Allah dengan semulia-mulianya, tetapi apabila sebelum berdoa atau sesudahnya dia mengerjakan pekerjaan yang sangat dilarang dan dimurkai Allah.

Di sinilah letaknya rahsia mengapa Allah tidak mengabulkan doa sebahagian besar dari manusia yang berdoa dan di sinilah pula letaknya kenapa Allah selalu mengabulkan doa Rasul dan nabi, para sahabat dan tabi’iin, para wali dan orang soleh lainnya.

Untuk membolehkan doa itu dimakbulkan Allah s.w.t maka ia hendaklah dilakukan dengan sebaik-baiknya dan dengan memelihara adab- adab berdoa.
Di antara adab-adab berdoa ialah:

1. Doa hendaklah dilakukan dalam waktu yang baik dan mulia seperti pada hari Arafah, ketika Ramadhan, Jumaat, sepertiga yang akhir dari malam dan pada waktu sahur.

2. Berdoa dalam keadaan yang mulia seperti ketika sujud dalam sembahyang, ketika berhadapan dengan musuh dalam pertempuran, ketika hujan turun, sebelum menunaikan sembahyang dan sesudahnya, ketika jiwa sedang tenang dan bersih daripada gangguan syaitan dan ketika menghadap Kaabah.

3. Berdoa dengan menghadap kiblat.

4. Berdoa dengan merendahkan suara antara terdengar dan tidak oleh orang yang berada di sisi kita.

5. Berdoa dengan tidak menggunakan kata-kata yang bersajak. Memadai dengan kata-kata biasa dan sederhana, sopan dan tepat dengan apa yang dihajati dan tidak perlu dilagukan dan amat baik dipilih lafaz-lafaz doa Rasulullah s.a.w yang bersesuaian.

6. Berdoa dalam keadaan khusyu’ dan tawadhu’ dengan merasakan kebesaran dan kehebatan Allah dalam jiwa.

7. Mengukuhkan kepercayaan bahawa doa itu akan dimakbulkan Allah dan tidak sedikitpun berasa gelisah jika tidak diperkenankan Allah s.w.t.

8. Mengulangkan doa yang diutamakan dua hingga tiga kali.

9. Memuji Allah di permulaan dan pengakhiran doa.

10. Bertaubat sebelum berdoa dan menghadapkan diri dengan sesungguhnya kepada Allah s.w.t.

Doa Para Malaikat Kepada Hamba Allah

..tinta HM..


PERCAYA kepada malaikat adalah antara rukun iman. Ada malaikat yang ditugaskan berdoa kepada makhluk manusia dan sudah tentu seseorang yang didoakan malaikat mendapat keistimewaan.

Ketika kita menghadapi masalah, kerumitan, keperluan dan bimbingan, bukan saja kita perlukan kekuatan doa dari lidah, tetapi juga sokongan malaikat.

Antara orang yang mendapat doa malaikat ialah:

1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci.Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa: “Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci.”

2. Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat.Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya: ‘Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia.’”

3. Orang yang berada di saf depan solat berjemaah.Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf depan.”

4. Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah (tidak membiarkan kekosongan di dalam saf).Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf.”
5. Kalangan malaikat mengucapkan ‘amin’ ketika seorang imam selesai membaca al-Fatihah.Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Jika seorang imam membaca…(ayat terakhir al-Fatihah sehingga selesai), ucapkanlah oleh kamu ‘aamiin’ kerana sesiapa yang ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, dia akan diampuni dosanya yang lalu.”
6. Orang yang duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat.Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Kalangan malaikat akan selalu berselawat kepada satu antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat, di mana ia melakukan solat.”
7. Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah.Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Kalangan malaikat berkumpul pada saat solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan malaikat pada siang hari tetap tinggal.”Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal lalu Allah bertanya kepada mereka: “Bagaimana kalian meninggalkan hamba-Ku?”Mereka menjawab: ‘Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, ampunilah mereka pada hari kiamat.’”
8. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan.Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata ‘aamiin dan engkau pun mendapatkan apa yang ia dapatkan.’”
9. Orang yang membelanjakan harta (infak).Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: ‘Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak…’”
10. Orang yang sedang makan sahur.Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat kepada orang yang sedang makan sahur.”
11. Orang yang sedang menjenguk (melawat) orang sakit.Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan di waktu malam hingga Subuh.”Itulah antara mereka yang mendapat doa malaikat. Semoga kita termasuk dan tersenarai sama.