Tuesday, March 9, 2010

NASIHAT LUKMAN KEPADA ANAKNYA.

Kata Lukman kepada anaknya :
Wahai anakku ! Apabila engkau ingin mencari teman sejati maka ujilah terlebih dahulu dengan perkataan yang menaikan kemarahannya. Apabila dalam kemarahan itu dia masih berusaha untuk menasihati kamu, maka bolehlah engkau mengambilnya sebagai kawan dan jika bukan demikian, maka berhati-hati terhadapnya.

Perbaikilah tutur katamu, halusilah budi bahasamu dan maniskan wajahmu kerana engkau akan disukai orang lebih daripada barang berharga yang pernah diberikan kepadanya.

Kata Lukman lagi:
Wahai anakku ! apabila engkau berteman, jadikanlah dirimu orang yang tidak pernah mengharapkan sesuatu daripadanya. Jadikanlah dirimu sebagai seorang yang tidak berhajat kepada puji-pujian dan menagih sanjungan daripada orang lain. Ini kerana jika itu yang kamu hajati, dirimu akan beroleh kecelakaan.

Usahakan agar mulutmu tidak mengeluarkan kata-kata kotor dan kasar kerana engkau akan lebih selamat apabila berdiam diri, dan jika engkau berbicara janganlah berkata-kata melainkan ia memberi manfaat kepada orang lain.

Janganlah engkau cenderung dan sibukkan dirimu kepada hal dunia semata-mata sehingga melupakan akhirat kerana engkau diciptakan oleh Allah bukannya untuk urusan dunia saja. Sesungguhnya tidak ada orang yang lebih hina melainkan orang yang terpedaya dengan dunia semata-mata.

Pesan Lukman lagi :
Janganlah engkau terlalu mudah ketawa kalau bukan perkara yang menggelikan dan jangan menanyakan sesuatu yang tidak ada gunanya bagi diri kamu dan jangan engkau mensia-siakan harta duniamu.

Barang siapa yang penyayang sudah tentu ia akan disayangi, siapa yang suka berdiam diri tentu akan selamat daripada berkata-kata perkara yang mengandungi racun dan barang siapa yang tidak mampu menahan lidahnya daripada berkata kotor, sudah tentu ia akan menyesal.

Lukman seterusnya berkata:
Bergaullah dengan orang yang alim dan berilmu. Perhatikanlah kata-kata mereka kerana sesungguhnya akan sejuk hatimu apabila mendengarnya. Hidupkanlah hatimu dengan cahaya hikmah yang diperolehi daripada mutiara kata-kata ulama kerana nasihat mereka bagaikan tanah subur yang disirami hujan.

Ambillah harta dunia sekadar keperluanmu dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk akhirat. Jangan engkau tendang dunia ke bakul sampah, kelak dirimu akan menjadi pengemis yang membebenkan orang lain. Jangan engkau bertemankan orang bodoh serta orang yang bermuka dua kerana akan membahayakan diri engkau.

No comments:

Post a Comment